Isnin, 17 September 2012

Islam Liberal,Barah yang Membunuh Ummah

            Di zaman mutaakhirin yang dipenuh dengan cabaran ideologi dan globalisasi ini, pemikiran manusia berkembang seiring dengan pembangunan dan peradaban dunia moden. Walaupun ianya tidak bertentangan dengan agama,namun pemikiran manusia yang sentiasa berubah-ubah ini sentiasa mencari sesuatu isu yang berkaitan kehidupan dan aliran pemikiran kontemporari yang menisbahkan alirannya kepada islam.

            Islam adalah yang diwahyukan Allah kepada Rasul-Nya,baik yang terkandung di dalam al-Quran maupun dalam Sunnah.Di Al-Quran dan As-Sunnah menjadi sumber rujukan utama dalam segenap lapangan aspek kehidupan manusia,baik dari segi muamalah,perundangan,pentadbiran,sosial dan lain-lain lagi.
Di samping itu,terdapatnya juga Ijmak dan juga Qias sebagai sumber rujukan selepas Al-Quran dan As-Sunnah

            Namun begitu, pencabulan terhadap Islam sejak zaman berzaman telah berlaku beberapa kalinya. Islam sudah bertapak semenjak nabi Adam a.s sehinggalah kini. Setelah itu kitab undang-undang iaitu Taurat telah diturunkan kepada Nabi Musa untuk Bani Israel. Setelah beberapa kurun kemudian, Taurat telah berubah dan ditafsirkan mengikut hawa nafsu manusia. Setelah itu kitab Injil diturunkan bagi “membetulkan” kembali ajaran Nabi Musa. Tetapi ianya juga diubah setelah 800 tahun berlalu. Ianya ditulis kembali oleh Paulus Kristus (St. Paul) yang tidak tahu dari mana dia mendapatkan bahan untuk menulis kitab tersebut.

            Setelah itu muncul nabi akhir zaman yang muncul di Mekah yang padanya di wahyukan al-Quran pula sebagai kitab suci yang terakhir. Setelah kewafatan beliau, umat Islam berpecah menjadi beberapa kelompok dan terus berpecah sehingga menjadikan banyak ideologi-ideologi baru dalam Islam. Antara ideologi yang boleh menyesatkan pemikiran umat Islam adalah Islam Liberal. 

            Kelompok ini sudah lama wujud sejak kurun-kurun awal Islam dan bergiat aktif sehinggalah ke hari ini. Nama gelaran yang paling popular sejak awal-awal kebangkitannya adalah Muktazilah, akan tetapi di zaman modern ini, nama kelompok ini mungkin berbeza-beza tetapi manhaj dan cara pemikirannya sama. Antara nama yang masyhur digunakan dimasa kini adalah Islam Moden, Islam Pembaharuan, Islam Bebas dan nama yang paling masyhur di nusantara ini adalah Islam Liberal. Sekalipun mereka tidak mengidentitikan diri mereka sebagai beraliran Islam Liberal, kita tetap dapat mengenali mereka berdasarkan pemikiran dan manhajnya.
Apa Itu Islam Liberal

            Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka mendefinisikan perkataan Liberal sebagai bersifat condong kepada kebebasan dan pemerintahan yang demokratik (contohnya menentang hak-hak keistimewaan kaum bangsawan), berfahaman bebas, bersifat atau berpandangan bebas, berpandangan terbuka (tidak terkongkong pada sesuatu aliran pemikiran dan sebagainya)

            Melihat kepada definisi di atas, Islam sememangnya adalah sebuah agama yang bersifat liberal. Ia membebaskan manusia dari segala bentuk kezaliman, penindasan dan belenggu penyembahan sesama makhluk. Islam juga mempunyai dasar yang terbuka terhadap peradaban manusia selagimana ianya tidak bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah.

            Lalu, yang dikehendaki dengan gelaran aliran Islam Liberal adalah dengan penambahan liberal kepada Islam yang sememangnya sudah liberal. Ertinya aliran ini mengkehendaki ciri-ciri keterbukaan yang lebih luas daripada apa yang sedia ada dalam Syariat Islam yang asli dan tulen.

Lahirnya Islam Liberal

            Dua fenomena yang mempengaruhi psikologi Umat Islam.

1.      Fenomena penjajahan atau kolonialisme oleh Negara-negara Barat keatas hampir seluruh dunia Islam
2.      Ketinggalan dari sudut Sains dan teknologi berbanding Negara-negara Barat.

Apabila berhadapan dengan dua fenomena diatas, sikap umat Islam dibahagikan kepada empat:
1.      Merasa putus asa secara keseluruhan dan diam menerimanya sebagai satu ketentuan yang sememangnya merendah dan memundurkan mereka.

2.      Mereka berpendapat bahawa agama adalah faktor penghalang bagi mencapai kekuatan dan kemajuan. Harus memisahkan agama dari kehidupan bagi mencapai kemajuan. (sekularisme)

3.      Mereka juga berpendapat bahawa agama adalah faktor penghalang bagi mencapai kekuatan dan kemajuan. Namun untuk menyelesaikan faktor penghalang ini, mereka berpendapat bahawa caranya dakag membuka dan membebaskan agama dari ajaran dan tafsirannya yang sekian lama telah menjadi pegangan umat. Kelemahan dan kemunduran umat Islam inilah dianggap berpunca dari belenggu kejumudan umat dalam menafsir dan memperaktikan agama Islam. Kumpulan ketiga inilah yang digelar sebagai aliran Islam Liberal.

4.      Kelompok terakhir adalah mereka yang mengakui akan hakikat kelemahan dan kemunduran yang dialami oleh umat. Namun hakikat ini mereka tidak mempersalahkan agama melainkan terhadap diri mereka sendiri dan umat Islam seluruhnya keraa leka daripada berpegang dan mempraktikan agama Islam yang sebenar. Oleh itu, untuk memperoleh kembali kekuatan dan kemajuan yang sebelumnya dimiliki oleh umat Islam adalah dengan mempelajari, memahami serta mempraktikan kembali sepenuhnya ajaran agama.

Manhaj Islam Liberal

1.      Tentang Agama Islam
Aliran ini berpendapat agama Islam adalah agama yang benar. Namun pada waktu yang sama, aliran ini juga berpendapat bahawa semua agama selain Islam adalah benar juga. Setiap penganut agama mendakwa hanya tuhan dan ajarannya sahajalah yang benar, itu hanyalah dakwaan yang relatif dalam konteks dia dan agamanya sahaja.

2.      Tentang al-Quran
Aliran ini membahagikan wahyu kepada dua kategori:
·         Wahyu bertulis
·         Wahyu tidak bertulis
Wahyu bertulis adalah al-Quran dan ianya adalah teks semata-mata. Manakala wahyu yang tidak bertulis adalah akal manusia dan akallah yang sebenarnya menghidupkan teks al-Quran berdasarkan tujuan, konteks dan suasana zaman. Maka dengan itu, al-Quran adalah sesuatu yang hanya bersifat menerangkan tujuan-tujuan agama manakala akal manusialah yang menyesuaikannya selari dengan konteks zaman.

3.      Terhadap Rasulullah SAW
Sifat Nubuwwah yang dimiliki oleh Rasulullah SAW tidak lain hanyalah kemampuan seorang manusia untuk memimpin manusia yang lain. Oleh itu siapa sahaja yang boleh memimpin boleh mengambil alih sifat Nubuwwah seumpama Rasulullah SAW dalam memimpin manusia kearah ciri-ciri yang baik.
Adapun sunnah-sunnah baginda SAW, tanpa ragu aliran ini berpendapat ianya releven untuk masyarakat arab di zamannya sahaja, amat ketinggalan untuk dipraktikkan pada zaman ini.
Begitu juga tentang kemukjizatan Nabi SAW, aliran ini berpendapat bahawa ia hanya kisah-kisah yang direka cipta selepas kewafatan nabi yang begitu fanatik dengan kehidupan baginda SAW.


4.      Terhadap Hadis
Aliran ini memiliki beberapa manhaj terhadap hadis-hadis Rasulullah SAW, sekalipun yang termuat dalam kitab Sahih Bukhari dan sahih Muslim. Antaranya:

·         Hadis-hadis tersebut tidak berasal dari Rasulullah SAW melainkan hanya ciptaan orang-orang yang ingin menjaga dan memanfaatkan kepentingan diri mereka.

·         Hadis-hadis yang benar hanyalah bersifat mutawatir manakalah hadis-hadis ahad bersifat samar-samar dan tidak menjadi tuntutan ke atas umat yang berpegang kepadanya.

·         Hadis-hadis mutawatir sekalipun, kebenarannya hanya dalam konteks kehidupan masyarakat arab pada zaman Rasulullah SAW. Ia tidak lagi releven pada masa kini kecuali sebagai kajian sejarah peradaban pada zaman baginda.

·         Hadis tentang azab kubur, suasaha hari akhirat dan sebagainya hanyalah cerita rekaan para perawi hadis untuk member pengaruh kepada orang ramai pada zaman mereka. Sekalipun hadis-hadis ini tercatit dalam kitab-kitab sahih, pada hakikatnya ia hanyalah cerita tahyul semata-mata.

·         Mereka berpendapat bahawa kesilapan paling besar yang dilakukan oleh para imam hadis adalah mereka hanya member tumpuan pada para perawi hadis dan tidak kepada matan hadis. Seandainya mereka memerhati dan member kritik terhadap matan hadis, maka cerita-cerita tahyul sepertimana diatas tidak akan mereka masukan kedalam kitab-kitab mereka.


5.      Terhadap Ilmu-ilmu keislaman.
Aliran ini meremahkan/ merendahkan ilmu-ilmu disiplin Islam seperti usul Tafsir, Ushul Fiqh, Ushul Hadis, al-Jarh wa al-Ta’dil (Kritik Perawi Hadis). Mereka mengatakan ilmu ini adalah ilmu buatan manusia yang tidak sunyi dari pelbagai kecacatan dan kesalahan.

Atas dasar inilah, aliran ini membuka kembali perbincangan, tafsiran serta ijtihad terhadap perkara-perkara yang sudah Qat’I (muktamad/ditetapkan) kedudukannya di dalam agama. Kerana mereka menganggap bahawa perkara yang di anggap Qat’I adalah perkara yang relatif (tidak selamanya benar)


6.      Terhadap hukum-hukum Fiqh
Aliran ini memiliki kaedah ushul tersendiri apabila merujuk kepada hokum-hukum fiqh, iaitu yang diambil adalah tujuan hukum bukan bentuk hukum. Bagi mereka, tujuan hukum adalah menjaga kemaslahatan manusia. Justeru bentuk hukum boleh diubah-ubah asalkan ia dapat menjaga kemaslahatan manusia sesuai dengan zaman mereka hidup. Atas dasar inilah, aliran ini tidak malu untuk mengubah bentuk hukum yang sedia tertera di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Contoh paling masyhur adalah bab aurat wanita. Aliran ini mendakwa bahawa menutup aurat –khasnya bertudung/berjilbab) hanyalah peradaban masyarakat arab di zaman Rasulullah SAW. Setelah beberapa abad berlalu, bentuk pakaian bertudung dan menutup tubuh badan telah menyelinap masuk kedalam syariat Islam sehingga di anggap sebagai salah satu kewajiban beragama. Kewajiban yang sebenar adalah- menurut aliran ini- adalah apa saja bentuk pakaian yang dianggap sopan oleh masyarakat selari dengan tuntutan zaman dan peradaban.

Rukun-rukun Pemikiran Islam Liberal

Sekularisme
Pemikiran Islam Liberal mengatakan sekularisme tidak bercanggah malah sebahagian dari Islam.

Plurarisme Agama
Semua agama adalah sama di mana semuanya menuju kepada tuhan yang satu. Perbezaan hanya pada cara sampai kepada tuhan tersebut. Agama Islam dan bukan Islam adalah setanding dan sama-sama benar.

Al Quran Baru Edisi Kritis 
Al-Quran yang ada perlu diedit kerana dikatakan mempunyai kesalahan dan perlu dinilai secara kritis.

Hermeneutika 
Pen’tafsiran’ semula al-Quran menggunakan kaedah ‘hermeneutika’ yang dicelup dari kaedah pentafsiran Bible. Sebagaimana bible dikaji, di mana ayat-ayat yang benar cuba diasingkan dari yang salah , teks al-Quran dikaji dan diubah mengikut selera pentafsir. Menurut kaedah ‘pentafsiran’ ini teks al-Quran tiada bezanya dengan tulisan-tulisan lain dan tidak harus dimuliakan kerana ianya mungkin mengandungi kesilapan.

Feminisme 
Perjuangan untuk menyamakan lelaki dan wanita di segala segi. Di antara tuntutannya:

Lelaki perlu beriddah selama 130 hari sebagaimana wanita beriddah.
Wanita diberi kuasa menjatuhkan talak.
Pembahagian pusaka sama di antara anak lelaki dan wanita.
Poligami adalah tidak sah.


Bahayanya Islam Liberal

            Jika sebelum ini, kaum Yahudi dan Nasrani telah Berjaya mengubah isi kandungan Kitab Taurat dan Injil, maka kini kita juga ada sebahagian dari umat ini mengubah ajaran-ajaran Islam. Jika kita mengkaji dan secara mendalam tentang manhaj-manhaj aliran ini sepertimana yang diterangkan diatas, dapat disimpulkan bahawa mereka adalah sekelompok manusia yang menyembah akal dan mempertuhankan peradaban Barat dalam beragama. Mereka ingin bebas dari penjajahan dan kemunduran, namun saying sekali mereka hanyalah bebas dari tubuh badan manakala mereka masih terjajah dengan pemikiran Barat.
            Mereka mencari kejayaan bukan dengan mengikuti manhaj yang diredhai oleh Allah SWT tetapi dengan manhaj mengikuti orang-prang yang bukan Islam. Dengan cara ini mereka berharap memperoleh kekuatan dan kemulian padahal kekuatan dan kemuliaan tersebut hanyalah milik Allah SWT.


Pemikiran berkenaan Al-Quran

Antara idea kontroversi Islam liberal yang sedang hangat dibicarakan ialah mengenai kemutlakan al-Qur'an sebagai wahyu Ilahi. Nasr Hamid Abu Zayd, seorang penulis Mesir, telah menghasilkan dua buah karya kontroversi. Pertama, Mafhum al-Nass (Penalaran Teks); kedua: Naqd al-Khitab al-Dini (Dekontruksi Wacana Keagamaan). Kedua-dua karya tersebut, menurut Abu Zaid adalah untuk membuktikan bahawa gagasan-gagasan ilmu hermeneutiknya (disiplin yang diambil dari tradisi keserjanaan Barat tentang ilmu kritikan Injil) yang dianggapnya dapat dijustifikasikan kerana ia adalah satu keniscayaan logik.

Dr. Anas Malik Taha, ilmuan di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, UIAM, telah mengakaji secara mendalam pandangan NHAZ itu. Bagi Dr. Anas, Mafhum al-Nass (Penalaran Teks) adalah untuk membuktikan bahawa ianya bukan kerana berlaku pertentangan antara Islam dengan ideologi-ideologi luar, tetapi ia adalah hasil yang terbit dari rahim Islam itu sendiri. (Anas Taha Malik, Ogos, 2004, ms. 29).

Selain itu, Dr. Anas turut menyoroti karya keduanya Naqd al-Khitab al-Dini (Dekonstruksi Wacana Keagamaan). Dalam karya ini, Abu Zaid berhujah bahawa kebangkitan Islam yang disebut-sebut selama ini telah menghasilkan golongan yang membaca teks agama secara kaku dan literal (harfiyyah), bahkan sampai pada tahap pentakdisan, pensakralan serta pengingkaran terhadap tabi'at manusia dan sejarahnya. (Anas Taha Malik, Ogos, 2004, ms. 29). Jadi, adalah jelas bahawa acuan pemikiran NHAZ tidak mengakui apa pun selain dari "akal" (rasionalsime) dalam memahami teks agama. Lalu NHAZ mengagungkan sekularisme dengan mengungkapkan frasa berikut: "la sultana 'ala al-'aql ill al'aql" (tidak ada otoritas terhadap akal kecuali akal sendiri). (Anas Taha Malik, Ogos, 2004, ms. 32).

Selanjutnya, karya Mafhum al-Nas (Penalaran Teks) juga adalah manifestasi keghairahan NHAZ terhadap kepentingan akal dalam memahami teks al-Qur'an. Seorang pengkaji dari Indonesia yang cenderung dengan pemikiran NHAZ telah menyatakan bahawa karya tersebut adalah respons intelektualnya terhadap tafsiran pragmatis dan ideologis atas al-Qur'an setelah beliau meneliti cara gaya pemikiran Mu'tazilah. Dia percaya bahawa dengan mendefinisikan "hakikat objektif" teks, tafsiran ideologi dapat dilakukan semaksima mungkin. (Moch. Nur Ichwan, 2003, ms.20).
Salah satu dakwaan yang telah dilontarkan oleh NHAZ bahawa pandangan-pandangan nya tentang al-Qur'an berdasarkan pada pemikiran 'ulama di masa lalu. NHAZ mendakwa bahawa beliau telah banyak merujuk kepada pemikiran Mu'tazilah. Dalam melakukan kajian terhadap al-Qur'an, selain dari rujukan Mu'tazilah, NHAZ gemar menggunakan pendekatan hermeneutic Barat. Persoalannya di sini, apakah pendekatan hermeneutik boleh digunakan terhadap al-Qur'an? Dalam konteks Bible, sememangnya ia tidak bermasalah. Ini ialah kerana Bible sememangnya dikarang oleh ramai pengarang! Apakah al-Qur'an mahu dijadikan karya kepengarangan? Sesungguhnya, NHAZ dalam idea-idea liberalnya begitu sekali terpengaruh dengan teori hermenuetik Friedrich Schlieimacher (1769-1834).

Dalam Mafhum al-Nass (Penalaran Teks), NHAZ berhujah bahawa Junjungan Muhammad (saas), sebagai penerima pertama wahyu dan sekaligus penyampai teks adalah sebahagian dari realiti masyarakat setempat di Kota Makkah. Jadi, membicarakan Junjungan Muhammad (saas) sebagai seorang penerima wahyu tidak bermakna membicara sebagai seorang penerima pasif. Junjungan Muhammad (saas) adalah terikat kepada faktor sosi-budaya dan sejarah masyarakatnya. (Adian Husaini dan Henri Salehudin, Ogos, 2004, ms. 33-34).
Konsep wahyu di sisi NHAZ seperti yang tercatat dalam karya "Nasr Hamid Au Zaid: Kritik Teks Keagamaan" (2003:70), beliau mendakwa bahawa perkataan-perkataan yang terdapat dalam al-Qur'an bukanlah teks yang turun dari langit dalam bentuk kata-kata sebenar seperti yang masih dipegang kukuh oleh 'ulama tradisonal. NHAZ, sebaliknya mendakwa bahawa perkataan-perkataan yang terdapat dalam al-Qur'an itu adalah merupakan semacam "spirit wahyu" al-Qur'an yang telah disaring melalui Muhammad dan sekaligus dieksperisikan dalam pengucapan intelek dan kemampuan linguistiknya.
Dengan takrif wahyu yang berbeza dengan takrif konvensional para ilmuan Muslim yang muktabar, jelaslah di sini bahawa NHAZ telah meletakkan Junjungan Muhammad (saas) sebagai seorang "pengarang" al-Qur'an. Walaupun Junjungan Muhammad (saas) adalah seorang nabi yang 'ummi, tetapi Baginda dikatakan turut mengolah redaksi al-Qur'an sesuai dengan kondisinya sebagai manusia biasa. (Adian Husaini dan Henri Salehudin, Ogos, 2004, ms. 34).
Di sini jelas sekali bahawa NHAZ ingin menyamakan teks al-Qur'an dengan teks Bible yang selama ini diyakini oleh para sarjana Bible dengan satu tanggapan: "The whole Bible is given by inspiration of God". Pendekatan NHAZ sebenarnya adalah lanjutan dari tradisi orientalis Barat generasi awal seperti Arthur Jeffrey, Montgomery Watt, Richard Burton, Joseph Shact dan lain-lain lagi. Itulah sebabnya, para penganut konsep al-Qur'an versi NHAZ biasanya tidak mahu menyebut "Allah berfirman dalam al-Qur'an". Ini ialah kerana mereka beranggapan bahawa al-Qur'an adalah kata-kata Junjungan Muhammad (saas) atau al-Qur'an adalah karya bersama antara Muhammad dengan Tuhannya. Dengan melepaskan al-Qur'an sebagai kalam suci Ilahi yang ditanzilkan, NHAZ ingin menegaskan bahawa teks apapun termasuklah al-Qur'an adalah produk budaya manusia (Inna al-nass fi haqiqatihi wa jawarihihi muntaj al-thaqafi). (Adian Husain dan Henri Salehudin, Ogos, 2004, ms. 34-35).
NHAZ juga telah mengkritik kaedah pentafsiran al-Qur'an Ahlu Sunnah wa al-Jama'ah dengan membuat kesimpulan-kesimpul an berikut: 
(1) Tafsir yang benar menurut Ahlu Sunnah, dulu dan sekarang, adalah tafsir yang didasarkan pada otoriti 'ulama terdahulu; 
(2) Kekeliruan yang mendasar pada sikap Ahlu Sunnah, dahulu dan sekarang, ialah kerana usaha mereka mengaitkan "makna teks" dan dalalahnya dengan masa kenabian, risalah, dan turunnya wahyu. Menurut, Abu Zaid, ini bukan sahaja kesalahan pemahaman, tetapi juga merupakan ekspresi sikap ideologi terhadap realiti - suatu sikap yang bersifat keterbelakangan, anti kemajuan dan anti progresif. Justeru, kaum Ahlu Sunnah menyusun sumber-sumber utama penafsiran al-Qur'an pada empat hal: penjelasan Rasulullah (saas), sahabat, tabi'in, dan terakhir tafsir bahasa.(Adian Husaini dan Henry Salehudin, Ogos, 2004, ms. 35-36).

Selain itu persolaan bahasa juga disinggung oleh NHAZ. Belaiu telah mempersoalkan penggunaan bahasa 'Arab di dalam al-Qur'an yang didakwanya telah mencemari kesakralan wahyu itu sendiri. Sebab menurut NHAZ bahasa 'Arab yang digunakan dalam al-Qur'an ini bukanlah diturunkan di tempat yang "kosong". Bahkan, menurutnya, bahasa 'Arab kala itu sudah memilki struktur dan sistem yang tidak dapat dibebaskan dari struktur dan sistem masyarakat Penerapan teori-teori tadi telah menyebabkan Abu Zaid berpendapat bahawa al-Qur'an sebagai textus receptus, iaitu teks manusiawi kendatipun ia mempunyai asal - muasal Ilahiah. Dengan lain perkataan, lontaran pendapatnya yang paling keras ialah bahawa al-Qur'an itu adalah sebuah produk kultural kerana ia menggunakan bahasa kultural iaitu bahasa Arab. (Moch. Nur Ichwan, 2003, ms.2).

Di dunia Islam, pemikiran feminisme telah disebarkan oleh ideolog-ideolog terkenal seperti Fatimah Mernisi (Maghrib), Aminah Wadud (Amerika Syarikat), Nawal Sa'adawi (Mesir), Rifaa't Hassan (Pakistan), Zainah Anwar (Malaysia) dan lain-lain. Sisters In Islam, umpamanya, telah menuduh para tafsiran al-Qur'an oleh para 'ulama' "bias" gender dan merendahkan martabat wanita. Golongan liberalis juga mendakwa bahawa bahkan al-Qur'an sendiri adalah "bias" terhadap wanita. Cak Nur turut menjadikan persoalan gender sebagai salah satu agenda besar pemikiran Islam dewasa ini. Ketika mengalu-alukan penerbitan sebuah buku khus yang berjudul Argumen Kesetaraan Gender- Perspektif al-Qur'an (2001), karangan Dr. Nasaruddin Umar, katanya buku tersebut".. .menggugah kita bahawa realitas pemikiran Islam dewasa ini harus dibebaskan dari bias-bias gender." (Narasuddin Umar, 2001).


Idea-idea provokatif liberal Islam sememangnya dapat disanggah dengan menggunakan manhaj pemikiran Islami yang muktabar. Bagaimanapun, respons kita sebagai seorang Muslim tidak cukup dengan emosi sahaja. Kita perlu membahaskannya secara terbuka dan objektif kerana faktor suasana yang semakin mencabar pada masa kini. Barangkali antara pendekatan yang terbaik ialah dengan kembali mengkaji metodologi Imam al-Ghazali (r.h). Seperti yang telah terbukti bahawa Imam al-Ghazali telah telah mendapat tentangan hebat dari ahli-ahli falsafat di zamannya. Walau bagaimanapun, Imam al-Ghazali (r.h) telah berjaya menggunakan pendekatan ilmiah bagi menangkis pemikiran rasionalisme yang begitu kuat pengaruhnya pada zaman itu.

Dalam konteks al-Qur'an sebagai sebuah Kitab Suci bagi umat Mam, Profesor Dr. M. M. Al-Azami, seorang ilmuan Muslim di Univeriti Ummul Qura, Mekah, telah menghasilkan sebuah karya yang sungguh tinggi nilai keserjanaanya. Karya tersebut memang layak dinobatkan antara tulisan yang terbaik pada abad ini bagi menyanggah pemikiran kontroversi Islam liberal.

Dalam kata pengantar Penerbit Pustaka Gema Insani, Jakarta, Indonesia, dinukilkan kata-kata berikut: "Dengan buku ini Profesor 'Azami menempatkan dirinya di garda depan sebagai ulama terkemuka pembela kemurnian dan keautentikan Al-Qur'an di tengah-tengah upaya serius kaum orientalis menggempur al-Qur'an. Profesor 'Azami membuktikan bahawa al-Qur'an adalah Kalamullah, mukjizat badi hingga akhir zaman." (M. M. Azami, Sejarah Teks al-Qur'an Dari Wahyu sampai Kompilasi, Jakarta, 2005). Semantara Profesor Mohd. Kamal Hassan, mantan Rektor UIAM, dalam kata pengantar mengenai buku ini, turut mengaprisiasikan karya Profesor 'Azami dengan kata-kata berikut: "..Karya ini sangat penting untuk disemak apalagi dalam cuaca akademis pasca pemerintahan Soeharto yang banyak diwarnai polirisasi pemikiran yang begitu beragama yang, kadang-kadang, cenderung destruktif terhadap kesucian ajaran Islam." (M. M. 'Azami, Sejarah Teks al-Qur'an: Jakarta, 2005, ms. xxiii).

Gagasan Islam liberal nampaknya terjebak dengan filsafat Barat dari segi roh dan kaedahnya yang hanya bertuhan kepada akal (rasionalisme) semata-mata. Atas nama objektiviti dan saintifik, golongan Islam liberal terpengaruh dengan metodologi Barat dan mahu meruntuhkan metodologi keilmuan Islam yang telah diterima pakai sejak ribuan tahun lalu. Adalah suatu yang jelas kepada kita bahawa metodologi keilmuan Islam masih terus utuh kerana ia bertunjangkan al-Qur'an dan al-Sunnah -dua sumber epistemologi yang dapat menghadapi tentangan zaman. Para ilmuan Muslim dalam semua bidang pengetahuan agama ('ulum naqliyyah) dan ('ulum aqliyyah) telah dapat mengembangkan ilmu-ilmu Islam seperti ilmu fiqh dan usul fiqh pada tahap keilmiahan yang tinggi. Keupayaan mereka menghadapi persoalan-persoalan baru yang timbul dalam masyarakat Islam pada zaman silam sehingga ke hari ini adalah kerana mereka dapat memahami dengan jelas dan tepat apa yang diistilahkan sebagai prinsip thabit (perkara yang tetap) dengan mutaghayyir (perkara yang berubah-berubah) dalam sumber-sumber Islam seperti al-Qur'an, al-Sunnah dan Syari'ah.

Penutup

            Jadi, dapatlah kita simpulkan di sini bahawa idea-idea Islam liberal yang kononnya berpaut kepada hujah-hujah al-Qur'an dan al-Sunnah, sebenarnya telah menyimpang dari tafsiran-tafsiran konvensional 'ulama salaf dan khalaf yang muktabar. Dalam hubungan ini, Profesor al-Qaradawi mengingatkan kita supaya berusaha sedaya mungkin untuk menguasai manhaj ilmu-ilmu Islam secara komprehensif sebelum membuat satu-satu rumusan pemikiran baru. Jadi, kita mesti bersikap kritis dan objektif apabila membicarakan pemikiran Islam liberal. Ini ialah kerana pemikiran-pemikiran nadir seumpama itu memang sentiasa ada pada setiap zaman. Fenomena sedemikian itu sudahpun diperingatkan oleh Junjungan Muhammad s.a.w bahawa umatnya akan terpecah kepada 73 kelompok, hanya sanya SATU sahaja yang dapat dikategorikan sebagai golongan yang benar.






#sem0ga isi kandungan teks yang panjang n menjenuhkan dan menguji stamina keligatan otak kita dapat memberi manfaat kepada kita semua (n_n)

#sumber :beberapa buku rujukan agama karangan Dr Abdul Karem Zaidan,Dr Mustafa El-Rafie serta http://www.haluan.org.my

Tiada ulasan:

aw0p-aw0p

isLaM